FENOMENA INDIVIDU PISAU CUKUR DI KALANGAN KAUM HAWA MAHUPUN ADAM BUKANLAH PERKARA BAHARU. GOLONGAN SEPERTI INI TERKENAL DENGAN PERWATAKAN YANG SUKA MENGIKIS DUIT ORANG LAIN DEMI KEPENTINGAN DIRI SENDIRI. MUNGKIN ADA DI ANTARA KAMU YANG PERNAH MENGALAMI SITUASI INI DAN FOBIA SAAT INDIVIDU LAIN MULA DATANG DAN CUBA MENDEKATI KAMU. INDIVIDU INI SEOLAH-OLAH TIDAK MEMPUNYAI PERASAAN SEGAN SILU, MALAH MEREKA SANGGUP MEMPERGUNAKAN ORANG LAIN UNTUK KESENANGAN DIRI.

Pengaruh yang ada itu cuba diguna pakai oleh mereka supaya orang lain tunduk dan mendekati mereka lalu aktiviti yang tidak sepatutnya mula dijalankan. Bagi mengelakkan diri kamu menjadi mangsa teman si pisau cukur, jom selongkar ciri-ciri golongan ini.

Pandai Berlakon

Tahukah kamu, individu pisau cukur ini orangnya memang pandai berlakon. Semuanya akan dilaksanakan sebaik mungkin agar segala perencanaannya berjalan dengan lancar. Mereka akan melakonkan watak itu dengan baik tanpa disedari oleh orang lain. Bayangkanlah mereka sanggup menunjukkan bahawa mereka itu orang kaya dan tidak memerlukan duit orang lain untuk mendapatkan kemewahan. Padahal lakonan itu hanyalah untuk mengaburi mata kamu daripada melihat kecacatannya yang sebenar.

Berpengaruh

Ops, mereka memang sangat berpengaruh, oleh itu awas! Jika teman kamu mula mencari pengaruhnya di kalangan orang yang kaya-kaya, maka kamu sudah boleh mula menjauhkan diri daripadanya. Orang seperti ini akan cuba mencari dan mempergunakan orang lain demi kepentingan diri mereka. Pengaruh yang ada itu akan digunakan bagi menundukkan orang lain. Kamu harus tahu, bila mereka mempunyai pengaruh yang sangat kuat sudah tentulah pengikutnya juga ramai. Siapa yang tidak mahu bergandingan dengan individu yang berpengaruh, bukan? Situasi ini memberikan mereka ruang untuk mengikis sedikit demi sedikit malah setiap permintaan itu pasti ditunaikan.

Menjaga Kecantikan Diri

Dalam bab kecantikan diri si pisau cukur, mereka memang tidak pernah sesekali mengabaikannya. Kalau diri tidak cantik, bagaimana orang lain ingin mendekatinya? Jadi sudah tentulah mereka akan menjaga kecantikan diri dari atas rambut sampailah ke hujung kaki. Malah yang tidak sempurna itu akan cuba dikaburi dengan solekan atau daripada segi pemakaian yang ala berjenama. Boleh dikatakan mereka sangat menjaga bab penampilan diri. Kecantikan merupakan aset untuk mendapatkan apa yang mereka inginkan. Kamu akan terpengaruh dengan gayanya malah kamu akan disuruh membeli itu dan ini termasuklah membeli untuk dirinya.

Untuk artikel penuh, dapatkan majalah Remaja isu 15 Januari 2012 sekarang!