BEKERJA DI DALAM BIDANG YANG SAMA SEKALI BERBEZA DENGAN BIDANG PENGAJIAN BUKAN LAGI SESUATU YANG ASING. TAMBAHAN PULA DENGAN PELUANG YANG SEMAKIN TERHAD KETIKA INI, SEHARUSNYA APA YANG TERHIDANG DI DEPAN MATA DIREBUT SEBAIK MUNGKIN. UNTUK KEKAL BERJAYA, HANYA KESUNGGUHAN DAN USAHA BERTERUSAN PERLU DIJADIKAN FORMULA WALAU DI MANA JUA DIRI BERADA.
Pernah menjadi krew di belakang iaitu sebagai chef di salah sebuah restoran di ibu kota, pekerjaannya pada waktu itu dilakukan dengan minat yang penuh mendalam. Sememangnya dia meminati bidang masakan. Demi mengukuhkan lagi skil dan seni memasak di dalam diri, anak muda ini memilih untuk melanjutkan pengajian di dalam bidang kulinari di Flamingo International College.
Namun belum pun tamat pengajiannya di kolej, dia ditawarkan kerja sebagai Eksekutif Perhubungan Awam yang sama sekali berbeza dengan kemahiran yang dipelajarinya selama tiga tahun itu. Sudah terbentang rezeki di depan mata, dia cuba menyahut cabaran!
Si Budak Nakal
Mohd Syafiq Asyraf Mohd Nor atau lebih senang disapa Acap, merupakan anak jati Kuala Lumpur. Mengakui cukup aktif sewaktu zaman persekolahan dahulu, Acap juga dikenali kerana sikapnya yang gemar menyakat. Baik ketika bersama rakan-rakan mahupun di rumah, dialah yang sering menjadi penghibur orang-orang di sekeliling dengan kenakalannya itu. Tidak cukup dengan itu, ketika masih kecil juga dia sudah mempunyai minat yang tinggi dalam dunia masakan.
“Ketika masih kanak-kanak lagi, saya sangat suka melihat ibu memasak di dapur. Dari situ saya pelajari sedikit demi sedikit cara untuk menyediakan beberapa masakan. Selain suka tengok, saya juga suka makan. Sebab itulah rasanya boleh timbul keinginan untuk menjadi chef apabila besar,” imbau Acap tertawa.
Seronok Di Dapur
Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), impian Acap hampir menjadi kenyataan apabila dia ditawarkan melanjutkan pelajaran di dalam bidang seni kulinari. Selepas berjaya memperoleh sijil pengajian, Acap diterima bekerja menjadi krew dapur di salah sebuah restoran di ibu kota.
“Saya memang enjoy sangat bekerja pada waktu itu. Lagipun saya suka mencipta resipi-resipi baharu. Orang lain juga perasan yang betapa enjoynya saya dapat bergelar chef kerana badan saya juga naik dengan mendadak sekali. Iyalah, dah berada di dapurmahu tak mahu kenalah merasai semua masakan. Masa itu saya tak peduli pun fasal penampilan diri. gemuk pun gemuklah. Janji saya gembira,” ceritanya penuh ramah.
Tawaran Menarik
Demi meningkatkan lagi kemahiran dan ilmu di dada, Acap mengambil keputusan untuk menyambung semula pengajiannya di peringkat diploma. Masih memilih bidang yang sama, Acap penuh tekad untuk menjadi ‘seseorang’ dalam bidang masakan suatu hari nanti. Namun begitu, ketika berada di tahun akhir pengajian dan sedang membilang hari untuk peperiksaan akhir, dia diberitahu yang sebuah institusi perbankan di ibu kota membuka permohonan jawatan kosong.
“Apabila pulang ke rumah hari itu, emak beritahu saya ada jawatan kosong di sebuah bank. Emak suruh saya hantar resume, mana tahu ada rezeki. Emak tahu saya ni memang jenis suka bercakap. Melihat jawatan Perhubungan Awam itu saya pun rasa tertarik. Petang itu juga saya siapkan resume dan terus saja hantar,” ujar Acap yang nyata terkejut apabila permohonannya itu diterima dan dia ditawarkan jawatan Eksekutif Perhubungan Awam hanya selepas sebulan menghantar permohonan tersebut.
Demam Terkejut
Bagai berada di dalam dunia yang sangat berbeza, pada Mei 2009 Acap memulakan tugas barunya sebagai Perhubungan Awam atau PR di sebuah institusi perbankan itu dengan perasaan bercampur baur. Mana tidaknya, sebelum itu dia selesa berada di belakang bermain dengan segala jenis pisau dan kuali.
Kini dia perlu bertindak di baris hadapan dan kekal dengan penampilan yang tip top. Tidak cukup dengan itu, perbezaan peraturan kerja, pengudaraan yang berlainan dan setiap waktu menghadap komputer telah membuatkan Acap diserang demam dek terkejut dengan corak kerja yang sungguh berbeza. “Saya demam pada minggu-minggu awal bekerja di sini. Terkejut agaknya kerana tidak biasa menjadi terlalu formal. Lagi pula, saya baru berusia 20 tahun waktu itu. Rasa kecil sangat melihat senior-senior lain datang ke pejabat dengan cukup segak dan berkarisma. Tapi saya tidak mahu cepat melatah. Saya cuba belajar dan berubah sedikit demi sedikit,” ujar Acap tersenyum.
Lebih banyak info mengenai Asyraf dalam majalah Remaja keluaran 15 Januari 2012!



