Ramai orang di luar sana yang sering kali menganggap bahawa bergaya sentiasa memerlukan wang yang banyak. Hakikatnya, banyak lagi cara untuk kamu terus menjadi kreatif dalam menghiasi dirimu dengan kadar yang paling sederhana. Ikuti tip menarik dari REMAJA!

1. Jualan Murah!

Waktu jualan murah merupakan waktu yang paling sesuai untuk kamu membeli-belah. Tidak kira ia dilakukan di pusat beli-belah terkemuka mahupun jualan gudang, harga barangan yang dijual tetap murah dan berpatutan. Ketika inilah kamu seharusnya membeli-belah secara sakan kerana wang yang dibelanjakan cukup berbaloi dengan barang yang diperoleh. Bagi sesetengah individu, barangan jenama yang mahal boleh didapati pada potongan harga yang banyak ketika jualan murah sedang berlangsung. Dengan cara ini, kamu dapat mengawal perbelanjaan kamu dengan bijak!

2. Beli Secara Online

Butik-butik online semakin menjadi trend di Malaysia. Ramai remaja yang menceburi bidang perniagaan online dan mendapat keuntungan melaluinya. Mereka yang menjual barang secara online juga bijak meletakkan harga yang berpatutan dan mampu dimiliki oleh golongan remaja. Jadi, apa kata kamu membeli-belah secara online agar dapat mengawal diri kamu daripada berbelanja lebih. Selain itu, barangan yang dijual secara online juga kebanyakannya mengikuti trend semasa.

3. Konsep Flea Market

Flea market ataupun pasar lambak semakin menjadi trend di kalangan remaja kini. Konsep flea market dan bazar yang diketengahkan amat sesuai bagi mereka yang mencari pakaian atau aksesori yang murah kerana ia dijual pada harga yang sangat berpatutan. Kebanyakan pakaian dan aksesori yang dijual di bazar sentiasa menjanjikan kelainan dan amat sesuai bagi mereka yang mementingkan bajet dalam bergaya. Jika kamu belum pernah ke mana-mana bazar yang menawarkan koleksi pakaian dari zaman vintaj ke moden, terdapat banyak bazar yang boleh ditemui di seluruh Malaysia. Pakaian serta aksesori lain yang ditawarkan pula, pasti akan menepati cita rasa kamu.

Untuk artikel penuh dan lebih info, dapatkan majalah Remaja isu 15 Januari 2012!