Laluan sempit,berlumpur,laluan berbukit bakau dan mengharungi kawasan hutan yang belum pasti keselamatannya,bukanlah sesuatu yang diidam-idamkan oleh sesetengah pemandu,tetapi inilah yang dicari oleh penggemar sukan lasak kenderaan pacuan empat roda (4x4).Bayangkan kesukaran memandu di segenap laluan ekstrem ini betul-betul membuatkan jantung berdebar-debar merasai kesukaran yang dilalui.Kali ini Remaja membawa menggemar aktiviti lasak menyusuri kegilaan pacuan empat roda (4x4) khusus untuk semua.
 
Kamu cukup berani? Jom rasai sendiri lagak pemanduan ekstrem dengan memandu pacuan empat roda 4x4 yang sememangnya mengagumkan ini.Tiada kata yang mampu diluahkan sepanjang menaiki sendiri jentera berat ini. Apatah lagi kondusi kenderaan yang cukup besar serta dilengkapi peralatan untuk merentasi laluan yang mencabar cukup mencuri tumpuan. Mata penulis juga turut terarah dengan rekahan cermin hadapan kereta yang dikatakan retak akibat hentakan kepala pemandu semasa melalui laluan berliku. Terasa semakin bersemangat untuk mengembara bersama kumpulan remaja dari Ekstreme Park yang banyak membantu sepanjang perjalanan.Hebat dan teruja rasanya kerana inilah kali pertama penulis menaiki kenderaan hebat ini. Perjalanan dimulakan dengan membuat persiapan diri dan membawa beberapa peralatan penting bagi memberi gambaran sebenar semasa di kawasan hutan. Walaupun ia dilakukan di tengahtengah bandar dengan laluan trek yang direka sendiri, tetapi segala cabaran yang dilalui tetap sama seperti berada di kawasan hutan yang berbukit-bukau.Pastinya, pengembaraan singkat ini perlu dimanfaatkan bersama.
 
Romantika Alam Semula Jadi
Kalau diikutkan memanglah pengembaraan dengan menggunakan 4x4 ini dilaksanakan di kawasan hutan sebenar tetapi di kawasan bandar seperti Shah Alam khususnya bukanlah penghalang bagi warga kota untuk merasai kehebatan sukan lasak ini di tengah-tengah limpahan kota batu ini. Trek yang dibina cukup sesuai bagi mereka yang baru pertama kali memandu pacuan empat roda ini. Selain memberikan keselesaan semasa pemanduan, trek ini cukup membantu peserta menguasai segala teknik yang diperlukan.“Berperang dan berendam dalam sungai, laluan dipenuhi lumpur dan hutan belantara yang menakutkan memang itulah trek sebenar pemanduan 4x4 ini. Tetapi di kawasan bandar ini, Ekstreme Park memberikan trek yang sama buat pengunjung untuk merasai keseronokan yang sama seperti berada di hutan. Melihat flora dan fauna yang melengkapi sepanjang laluan trek memang mencuri tumpuan semua. Walaupun kita berada di tengah bandar, ia tetap mendekatkan diri kita dengan alam semula jadi di samping dapat merasai kepuasan sebenar aktiviti,” ujar Fiza, jurulatih wanita yang turut mengendalikan sukan lasak ini.
 
Gadis! Layakkah Mereka?
Tidak dinafi kan ramai yang menganggap sukan ini tidak begitu sesuai dengan gadis kerana mereka terpaksa mengawal struktur jentera yang besar dengan permukaan bumi yang cukup mencabar. Penghalang lain ialah perasaan gentar dengan pandangan orang kerana sukan lasak ini didominasi oleh golongan lelaki. Tetapi lensa kami terkejut apabila perempuan juga semakin memonopoli sukan lasak ini.“Kini perempuan juga seiring dengan cabaran globalisasi dan ia bukan penghalang bagi kami untuk mengharungi cabaran 4x4 ini. Sebenarnya saya mengambilnya dari sudut positif sahaja kerana sukan ini sebagai landasan buat kami dalam mempertingkatkan lagi keyakinan diri di samping mengeratkan hubungan dengan peserta lain,” akhiri graduan lepasan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini.