Suasana sunyi distudio Grup Majalah Karangkraf terus bertukar kepada mood romantis sebaik sahaja dua orang pendatang baru dalam dunia lakonan tiba.Bersempena bulan cinta kali ini,Remaja menyatukan dua hati yang tidak pernah bertemu untuk sesi fotografi penghias muka depan majalah Remaja bagi isu kali ini.

Wajah comel si gadis yang tak pernah lekang dengan senyuman menjadi pengubat kepada sesiapa sahaja yang melihatnya. Si jejaka yang peramah juga tidak kurang hebat memulakan langkah untuk berkenalan dengan si gadis. Detik manis perkenalan itulah bakal menjadi kenangan buat Izara Aishah dan Amar Baharin. Ikuti memori manis mereka berdua sepanjang sesi fotografi dan bersama REMAJA kita selongkar tentang cerita cinta kedua-duanya. 

 Amar Baharin mungkin tidak begitu dikenali berbanding wajahnya yang cukup komersial di kaca televisyen. Mula mengorak langkah sebagai pelakon menerusi program Anak Wayang di ASTRO, Amar menyusun langkah satu persatu untuk mencipta namanya dalam persada seni tanah air. Berbekalkan bakat lakonan yang ada pada dirinya, ramai pengarah memberi peluang untuk Amar tampil dalam drama-drama terbitan mereka. Rezeki Amar dalam bidang lakonan ternyata mencurahcurah dan impak yang diterimanya selepas tamat program realiti “Anak Wayang” pada tahun 2009 cukup memberangsangkan. Sebenarnya, sebelum menjadi pelakon, Amar pernah muncul sebagai model untuk iklan komersial Yamaha Ego pada tahun 2003. Rupa serta bakat menjadi titik tolak baginya dalam mencari rezeki dalam dunia seni.