TIADA YANG DAPAT MENYANGKA DARI BEKERJA DI KELAB MALAM, AKHIRNYA IMPIAN MENJADI PENYANYI MENJADI REALITI. MINAT YANG TIMBUL SEJAK KECIL BUKANLAH TIKET YANG MENJANJIKAN KEGEMILANGAN MASA HADAPAN. TANPA BAKAT, TANPA USAHA DAN TANPA KEYAKINAN, TIDAK MUNGKIN SESEORANG ITU BOLEH BERJAYA DAN SELESA DENGAN KEHIDUPAN KINI.
Siapa tidak kenal Jaclyn Victor yang kini popular dengan lagu “Beribu Sesalan” hasil gabungan suaranya bersama Shila Amzah dan Ning Baizura. Lagu yang semakin popular itu membuktikan suara lantang yang dimiliki Jac sememangnya mampu membuatkan para pendengar kagum dengan vokalnya. Biarpun bukan daripada kalangan penyanyi Melayu, itu semua tidak menghalangnya untuk Jac tampil hebat sebaris dengan penyanyi yang lain.
Tujuh tahun selepas Jac merangkul anugerah juara bagi pertandingan “Malaysia Idol” musim pertama, nama Jaclyn Victor menjadi sebutan dari dahulu hingga kini. Cukup terkenal dengan suaranya yang lantang, Jac akui minatnya untuk menyanyi timbul sejak kecil. Minat itu telah membawanya bekerja sebagai penyanyi di sebuah kelab malam dan seterusnya membuka peluang untuknya menyertai pertandingan “Malaysia Idol”.
Persembahan Terkini
Terbaru, Jac baru sahaja selesai mengadakan persembahan di Dewan Filharmonik yang dinamakan sebagai Orkestra Tradition. Orkestra tersebut menggabungkan lagu-lagu moden, namun dimainkan dengan menggunakan peralatan muzik tradisional. Antara lagu yang dinyanyikannya ialah lagu “Joget Kenangan Manis”, “Rolling In The Deep” dan banyak lagi. Sebelum ini, Jac telah terlebih dahulu mengadakan persembahan yang seakan-akan sama di Singapura pada tahun 2005. Selain itu, Jac masih menumpukan perhatiannya dengan “3 Suara”, yang menggabungkannya dengan Shila Amzah dan Ning Baizura. Gabungan mereka bertiga sememangnya memberi impak yang besar di dalam dunia seni tanah air. Selain sibuk mempromosikan “3 Suara”, Jac juga masih sibuk mengadakan persembahan korporat dan majlis-majlis kebajikan.
Lakonan & Teater
Berbicara tentang dunia lakonan, Jac pernah cuba menceburi bidang lakonan dengan membintangi filem “Talentime” dan “Apalam” dan sebuah teater. Biarpun wataknya tidaklah begitu besar, namun itu merupakan pengalaman yang hebat dan titik permulaan buat Jac. Meskipun begitu, Jac tidak pernah terfikir untuk menjadikan dunia lakonan sebagai cabang kerjayanya yang kedua. Dia yang amat mencintai dunia nyanyian walau bagaimanapun masih melahirkan rasa cintanya kepada dunia teater.
“Jika dibandingkan di antara teater dan fi lem, saya lebih menyukai teater kerana saya suka pada sesuatu yang mempunyai respons serta-merta. Lagipun, teater menggabungkan semua elemen seni sekali gus iaitu berlakon, menari dan menyanyi. Selain mudah untuk menghayati watak, teater membolehkan saya berlakon dan membawa vokal. Saya pernah berpeluang berlakon dalam teater “Cuci The Musical” dan itu merupakan pengalaman hebat bagi saya. Saya harap akan ada lagi peluang untuk saya berlakon di dalam teater,” ujar Jac sambil tersenyum.
Untuk Artikel Penuh & Lebih Info Dapatkan REMAJA 1 JAN Di Pasaran Sekarang !!