FT ISLAND muncul dalam industri seni Korea Selatan dengan membawa satu pendekatan yang unik.Kala himpunan kumpulan nyanyian atau boyband kian meningkat popular,mereka tampil dengan alunan muzik yang tersendiri sebagai satu  band.

Mula bergiat aktif sejak lima tahun yang lalu, kumpulan dengan lima orang anak muda ini bernaung di bawah pengurusan FNC Music.Membawakan genre lagu rock balada berserta pop, FT Island membawa maksud Five Treasures Island yakni setiap ahli kumpulan melambangkan sebuah pulau yang begitu berharga.Meskipun album pertama dijadualkan menemui pasaran sekitar Mei 2007, tetapi FT Island terlebih dahulu muncul dalam rancangan “Wanna Be My Girlfriend?” di
saluran Mnet. Debut kemunculan pertama di hadapan lensa komersial adalah pada 27 Mei bertempat di Rolling Hall serta showcase di Live House Melon-AX.
 

Jepun Rumah Kedua
Selepas kemunculan membanggakan di Korea Selatan, FNC Music berhasrat melebarkan pengaruh kumpulan yang asalnya dianggotai oleh Choi Jong Hun, Lee Hongki,Lee Jae Jin, Oh Wonbin dan Choi Min Hwan ke luar. Meski dijadualkan akan mengadakan persembahan perkenalan di Malaysia pada 30 Mac 2008, ia terpaksa dibatalkan lantas Royal Paragon Hall di Thailand dipilih menjadi destinasi yang pertama.Album “Prologue of F.T. Island” menjadi ilham buat lima orang anak muda ini memasuki pasaran Jepun. Single pertama perkenalan di negara jiran adalah “Soyogi“.Tamat sahaja sesi promosi di Jepun,FT Island pulang ke Korea Selatan bagi melancarkan album penuh kedua yang diberi tajuk “Colorful Sensibility“. Album EP kesinambungan daripada album tersebut dikeluarkan pada 17 Oktober. Masih dilanda tuah pada tahun tersebut, mereka merakamkan lagu“The One“ yang menjadi single komersial pertama di Jepun atas saranan pengurusan AI Entertainment. Berjaya menduduki tangga kesembilan dalam carta Oricon, lagu tersebut merupakan rakaman terakhir bersama pemain gitar kedua, Oh Wonbin yang kemudiannya menarik diri.

Tukar Ahli
Pada 28 Januari 2009, tempat Oh Wonbin diganti oleh seorang pelatih di bawah FNC iaitu Song Seung Hyun selaku pemain gitar rhythm dan sub-vokalis yang terbaharu. Bersamanya, FT Island merakamkan muzik video bagi lagu “Bad Woman“ yang dimuatkan dalam album mini “Jump Up“. Sesi promosi dilakukan dalam rancangan SBS Inkigayo dua hari kemudiannya.Sebagai salah satu rangka promosi single Jepun pertama bersama Song Seung Hyun, FT Island mengeluarkan “I believe Myself“. Ini merupakan kali pertama ahli kumpulan  bekerjasama dalam pembikinan lirik dan komposisi lagu. Selepas itu, satu siri persembahan musim panas jelajah Asia telah diadakan bermula di Jepun, terus ke Singapura, Thailand dan Taiwan. Walhal masih mengadakan pertunjukan di luar negara, FT Island sedang dalam pertengahan merakamkan album penuh yang ketiga. Pada 9 Julai, FNC menampilkan jacket photo bagi album “Cross & Change“ diikuti video teaser yang dimuat naik secara online.Lagu “I Hope (Barae)“ mula kedengaran di corong-corong radio. Merangkumi 12 lagu, FT Island mencuba sisi muzik yang berlainan. Suku tahun terakhir 2009 menyaksikan single Jepun ketiga menemui para peminat. Ketua kumpulan, Choi Jong Hoon menunjukkan kebolehan bermain piano bagi lagu “Raining“ 

Konsert Di Malaysia
Berikutan gagal mengadakan persembahan tiga tahun yang lalu, FT Island kembali melunaskan janji dengan mengadakan sebuah konsert penuh di Stadium Negara pada pertengahan Januari lalu. Dibawakan oleh Square Roots, konsert yang berlangsung selama 150 minit ini disaksikan ribuan peminat yang membanjiri stadium seawal jam 2.30 petang.Persembahan bertenaga daripada Lee Hongki dan empat yang lainnya mendendangkan 23 lagu-lagu popular mereka tanpa kelihatan sebarang bait-bait penat lesu. Penulis dan rata-rata peminat yang hadir amat berpuas hati dengan kualiti persembahan pada malam itu.