BAND YANG DAHULUNYA MENGGUNAKAN NAMA ADRIBAND KINI TELAH MENUKAR NAMA BAND MEREKA SEBAGAI KLANGIT.MENYEDARI KEMUNCULAN BAND INDIE SEMAKIN MENINGKAT DARI SEHARI KE SEHARI, KLANGIT MENGAMBIL LANGKAH BIJAK DENGAN MEMPERJUANGKAN NASIB SENI MEREKA KE DALAM BIDANG LAKONAN. IKUTI KISAH BAND KLANGIT.
Kumpulan anak muda yang terdiri daripada tiga orang lelaki ini telah dibentuk sejak tahun 2009 lagi.Bermula dengan lima orang ahli, mereka kemudiannya bertukar kepada tiga orang sahaja. Apabila ditanya tentang sebab utama dua lagi ahli menarik diri, mereka mengatakan kedua-duanya tidak boleh memberi komitmen sepenuhnya. Sekarang,mereka lebih senang bergerak hanya dengan tiga orang ahli iaitu Ary sebagai vokalis, Haris sebagai gitaris dan Ewan sebagai bassist.Ditanya mengapa memilih Klangit sebagai nama band, kata mereka, Klangit itu sendiri memberikan maksud yang positif. Selain itu, Klangit juga menggambarkan tentang mereka yang sentiasa ingin menuju ke atas seperti mencari idea baharu bagi menaikkan nama Klangit itu sendiri.Idea asal nama band tersebut merupakan ilham daripada produser lama iaitu Mujahid Abdul Wahab.
Sesal Mendua
Membawakan lagu genre moden poprock,Klangit kini tampil dengan single terbaharu “Sesal Mendua“. Ia merupakan single pertama Klangit bersama Sony Music dan single ketiga mereka selepas kejayaan single mereka bersama Rumpun Record yang berjudul “Gelisah“ dan “Mungkin“.“Sesal Mendua“ menceritakan tentang seorang lelaki yang menyesal selepas menduakan teman wanitanya sehingga akhirnya kedua-dua teman wanitanya itu bertindak meninggalkannya.“Jika diberi peluang untuk berkolaborasi dengan artis tempatan atau luar negara,kami memilih untuk berduet dengan Jamal Abdillah, selain Gigi dan Shiela On7. Kami sangat mengagumi cara mereka mempersembahkan muzik dan kami akan lakukan yang terbaik jika diberi peluang. Daripada segi idola, kami sering menjadikan Red Hot Chilli Pepper, Muse dan Oasis sebagai pengaruh muzik utama kami,” kata Haris mewakili Klangit.
Berlakon Filem
Selain menjadi penyanyi, Klangit turut dilamar untuk menjadi pelakon di dalam drama komedi terbaharu Skop Production bertajuk “Sopi Security“.Mereka bertiga memegang watak sebagai band Klangit sendiri dan menganggap pengalaman pertama mereka itu sangat berharga. Drama 13 episod yang akan disiarkan di Astro Warna turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Sazzy Falak,A.Galak dan Man Raja Lawak. Band Klangit juga dijemput untuk turut serta di dalam Kempen Roadtour 1 Malaysia yang dinamakan Showcase Dr. Motor.Penjelajahan sehingga 1 Mac itu akan menyusuri seluruh negeri di Malaysia.Mengakhiri perbualan, Klangit sempat menyatakan harapan mereka agar peminat akan sentiasa menyokong Klangit dan mengundi lagu-lagu mereka di radio. Klangit akan cuba untuk menjadi lebih baik dari semasa ke semasa.