Lisa Surhani,nama yang cukup gah dalam industri seni tanah air.Sebagaimana yang dijanjikan,Lisa tiba di pejabat Karangkraf bersama ibunya,aura bakal pengantin nyata terserlah di wajah ayu milik gadis comel bersaiz kecil ini.Benarlah seperti yang dikhabarkan,sangat mudah bekerjasama dengannya.Tidak seperti artis lain yang mula menunjukkan belang selepas mencipta nama,Lisa masih lagi Lisa Surihani yang dahulu.Ikuti temu bual penulis bersama pelakon yang bakal mendirikan rumah tangga bersama pengarah,pelakon dan penyanyi kacak,Yusry Abdul Halim.
Apakah maksud cinta bagi Lisa?
Cinta bagi Lisa adalah apabila seseorang boleh menerima pasangan seadanya. Sewaktu membesar, manusia biasanya akan mencari kesempurnaan dalam lelaki yang dipilih tetapi Mummy Lisa sering berpesan, apabila mencari pasangan perlunya melihat kepada kekurangan yang ada. Jika boleh menerima ketidaksempurnaan yang ada, ini bermakna insan tersebut sebetulnya sesuai buat Lisa.Tarikan itu penting, namun rasa hormat di antara satu sama lain menjadi kunci utama dalam kisah cinta ini.
Cara terbaik agar perasaan sayang itu terus mekar?
Mengagumi setiap perbuatan yang dilakukannya. Sebagai contoh, frasa “I’m proud of you” dilihat sebagai satu perkataan yang mudah, namun besar maknanya apabila diutarakan pada waktu yang betul.
Pernahkah Lisa mengalami cinta monyet?
Mestilah pernah. Satu peristiwa semasa di bangku sekolah rendah. Waktu itu Lisa dalam darjah lima. Budak lelaki itu telah meninggalkan sepucuk surat di bawah meja. Paling mencuit hati, dia mengarang serangkap pantun bagi menyingkap apa yang terbuku dalam hati di atas helaian tersebut. Sehingga kini bait-bait ayat itu masih jelas dalam kotak fi kiran Lisa. Kami tidak pernah bersua kerana hubungan kami dilandaskan oleh ‘posmen’ tanpa bayaran. Siapa lagi kalau bukan rakan-rakan sedarjah. Hubungan berlanjutan selama beberapa bulan sehinggalah budak lelaki tersebut berpindah sekolah selepas tamat sesi tahunan persekolahan.
Apakah istimewanya Yusry di mata Lisa?
Bersamanya, Lisa terasa lengkap! Sebenarnya Lisa tidak pernah meletakkan kriteria semasa mencari lelaki idaman. Tanpa diduga, terdapat banyak benda dalam diri Yusry yang membuatkan Lisa tertarik. Cara dia menangani situasi, cara berfikir serta lagaknya melambangkan sifat sebenar diri yakni seorang yang baik dan bertanggungjawab. Lisa rasa serasi dengan perwatakan yang dibawakan, lantaran dia mengingatkan Lisa kepada diri sendiri. Seorang yang mengambil serius soal kerja, penyayang, suka akan kanak-kanak, juga rapat dengan kaum keluarga. Senang cerita, seorang yang bersifat family man mampu untuk mencairkan hati insan yang bernama Lisa Surihani.
Bagaimanakah Lisa membahagikan masa antara persiapan perkahwinan dengan kesibukan kerjaya?
Tidak salah lagi kini sibuk dengan penggambaran sebuah fi lem, walhal Lisa sudah lama menandatangani kontrak. Yusry pun menyarankan bahawa kerja harus diutamakan terlebih dahulu. Kaum keluarga, sahabat handai juga banyak membantu dalam menyiapkan proses persiapan kahwin. Berbicara tentang perkara pasca-perkahwinan, Insya-Allah Lisa masih lagi akan aktif selagi diperlukan dan jika ada rezeki. Lagipun Yusry tidak menghalang malah menggalakkan Lisa untuk terus mencipta nama dalam bidang seni.
Ceritakan sedikit tentang perkembangan aktiviti seni Lisa?
Lisa sedang dalam sesi penggambaran fi lem yang berjudul “Ular””. Filem genre feature creature ini merupakan filem yang pertama dihasilkan di Malaysia. Lisa memegang watak sebagai seorang wartawan yang bersifat provokatif bernama Myra. Ditugaskan untuk membuat liputan tentang sebuah resort yang kurang dikunjungi, fi lem ini turut dibintangi oleh Yusry, Sharifah Sakinah, Zarina Anjulie dan Harun Salim Bachik. Ini bukan kali pertama Lisa dikehendaki untuk berlakon bersama reptilia tersebut, selepas filem “Jangan Pandang Belakang Congkak”’ dahulu.
Siapakah Inspirasi atau idola Lisa dalam dunia seni dan kehidupan Lisa sendiri?
Mummy dan arwah Daddy, Lisa letakkan sebagai idola utama dalam hidup. Mereka tidak penat dan jemu untuk mengingatkan Lisa agar sentiasa bekerja keras. Bagi mereka yang terlibat dalam kancah dunia seni pula, Maya Karin, Erra Fazira dan Vanidah Imran merupakan beberapa anak seni yang Lisa sanjung.
Mengapakah Lisa mengagumi selebriti-selebriti ini?
Meskipun mempunyai bakat yang besar, mereka tidak pernah sombong, sentiasa berdisiplin malahan amat ramah. Lisa juga memandang tinggi pada Sazzy Falak kerana beliau seorang yang sangat positif dan mempunyai tahap keyakinan diri yang luar biasa.Selain itu, Sazzy sentiasa inginkan yang terbaik dan ini terbukti apabila dia sentiasa melakukan apa juga perkara secara bersungguh-sungguh. Tidak lupa aura yang ada pada diri abang Zaidi Omar yang mampu membuatkan Lisa jatuh cinta terhadap dunia lakonan.