SINETRON INDONESIA TELAH MENJADI FENOMENA DI MALAYSIA SEKARANG INI. MALAHAN, PELAKON-PELAKON SINETRON DARI SEBERANG SECARA TIDAK LANGSUNG MENAMBAH BILANGAN PEMINAT MEREKA DI MALAYSIA.IKUTI KISAH PELAKON SINETRON REMAJA POPULAR DARI INDONESIA YANG BEGITU MENYUKAI MAKANAN DI MALAYSIA TERUTAMANYA NASI LEMAK.
 
Wajahnya yang lembut kerap dilihat di kaca televisyen sejak kebelakangan ini. Pelakon muda dari negara seberang ini telah mula menjejakkan kaki ke industri seni seawal umur lapan tahun. Bermula dengan membintangi sinetron “Bulan Dan Bintang“,namanya kian melonjak naik dan terus membintangi lebih daripada 15sinetron sehingga ke usianya sekarang. Bakatnya diterima para peminat yang tidak putus-putus menyokong kariernya.Nikita Purnama Willy atau lebih senang disapa Nikita turut diminati di Malaysia. Dua daripada sinetron lakonannya iaitu “Safa dan Marwah“ dan “Putri Yang Ditukar“ sedang hangat dimainkan di Malaysia membuatkan namanya kerap meniti di bibir penggemar sinetron. Biarpun hanya berusia 17 tahun, bakatnya dalam dunia lakonan ternyata tidak boleh disangkal. Selain aktif berlakon,wajahnya juga kerap menghiasi televisyen dalam iklan-iklan produk.
 
Beralih Ke Dunia Nyanyian
Selain bergelar pelakon, si cantik manis ini mula beralih minat ke bidang nyanyian.Percubaannya untuk berjinak-jinak ke bidang nyanyian bermula sejak setahun yang lalu apabila pengarah sinetron lakonannya memberikan cadangan tersebut kepada Nikita. Menyahut cadangan itu, Nikita kini tampil dengan album mini yang memuatkan lima buah single bertajuk “Ku Tetap Menanti“,“Lebih Dari Indah“,“Tafakur“,“Pantas Untukku“ dan “Lebih Dari Indah“ dalam bentuk okestra. Kedatangannya ke Malaysia baru-baru ini bertujuan untuk mempromosikan single terbaharunya itu.“Saya seorang yang suka mencuba benda baru, oleh itu rasanya keputusan saya untuk menjadi penyanyi ialah keputusan terbaik setakat ini. Apatah lagi ibu saya tidak putus-putus menyokong saya.Saya berharap agar peminat di Malaysia dapat menerima nyanyian saya sepertimana mereka menerima lakonan saya. Biarpun sekarang saya sudah bergelar penyanyi,bidang lakonan tetap menjadi keutamaan saya. Tambahan lagi, saya masih lagi dalam proses pembelajaran untuk menjadi penyanyi yang baik,“ katanya penuh yakin.
 
Pelajaran Tetap Utama
Anak sulung kepada pasangan Henry Willy dan Yora Febrine ini sudah mempunyai rancangan untuk mengeluarkan album pertama yang dijangka pelancarannya pada tahun ini. Dia yang sedang merangka 12 lagu untuk album pertamanya itu mengakui sibuk menguruskan jadual hariannya sambil dibantu oleh ibunya. Nikita turut menghadiri kelas vokal selama sebulan. Bakatnya dalam dunia nyanyian semakin terserlah apabila terdapat beberapa buah lagu nyanyiannya yang telah pun dijadikan lagu tema untuk beberapa sinetron yang disiarkan di Indonesia. Ini secara tidak langsung telah membuka semangat Nikita untuk menghasilkan lebih banyak lagi lagu.Meskipun begitu, Nikita masih meletakkan persekolahannya ialah perkara yang paling utama.Dia sama sekali tidak akan ponteng kelas yang hanya diadakan pada hari Isnin,Rabu dan Jumaat sahaja. Nikita yang sibuk mengejar minatnya dalam bidang seni ini
turut mengakui yang dia sebenarnya telah menyimpan angan-angan untuk menjadi doktor sejak kecil. Berbeza dengan adik perempuannya seorang atlet badminton,Nikita lebih berminat dalam pekerjaan yang membantu orang ramai. Membuktikan kesungguhannya untuk menjadi doktor,katanya, dia sudah pun memilih sebuah universiti swasta untuk meneruskan pengajiannya sebaik sahaja dia tamat persekolahan.
 
Untuk Artikel Penuh & Lebih Info Dapatkan REMAJA 1 Feb Di Pasaran Sekarang !!