"Pengalaman Adalah Segala-galanya Buat Saya"
ju

Rezeki tidak akan datang bergolek.Namun usaha dan keyakinan mampu membuatkan rezeki berpihak kepada kita.Seperti yang diusahakan oleh Johan As'ari,rezeki datang kepadanya hasil kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan dalam kerjaya.Seorang yang sangat menghargai pengalaman,Johan menerima apa sahaja punca rezeki yang ditawarkan.Baginya,pengalaman itu merupakan satu anugerah.

 

Mula dikenali menerusi drama siri “Juvana”, nama Botak atau lebih senang disapa Johan terus meniti di mulut-mulut para gadis di Malaysia.Tidak berhenti di situ, lakonannya sebagai watak Aril dalam drama “Cinta Elysa” gandingannya bersama pelakon jelita Fasha Sandha membuatkannya semakin dikenali ramai. Menganggap semua itu rezeki Allah kepadanya, Johan masih lagi mengekalkan personalitinya yang dahulu iaitu sentiasa merendah diri.Johan yang mengakui masih cuba membiasakan dirinya dalam dunia seni ini bersyukur dengan tempat yang dia berada kini.Meskipun sentiasa sibuk dengan komitmen kerja, kata Johan, sedikit sebanyak dia gembira dengan perubahan hidupnya daripada seorang yang biasa menjadi seorang yang dikenali.Dia yang sangat rapat dengan keluarga lebih gemar berada di rumah dan menghafal skrip.
 
Tiada Masa Terluang
Johan baru sahaja selesai penggambaran drama “Pelangi Kasih” bersama Nabila Huda. Tiada masa untuk berehat, kini Johan sedang menjalani penggambaran telemovie berjudul “Keroncong Untuk Ana“ bersama Tiz Zaqyah dan Qi Qusyairi. Selain itu, dia juga sibuk dengan penggambaran filem “Juvana The Movie“ rentetan daripada drama yang dibintangi di awal kemunculannya. Bukan itu sahaja, Johan turut mendapat tawaran untuk drama 13 episod terbitan TV Al-Hijrah.Hasil dari kesibukannya yang tiada henti,pelajar Kolej Universiti Islam Melaka ini mengambil keputusan untuk berehat sebentar daripada pengajiannya.Dia yang merupakan pelajar semester ketiga ini yakin mampu menghabiskan pengajiannya suatu hari nanti. Cuma buat masa sekarang, Johan ingin bekerja dahulu dalam industri lakonan sebelum menyambung kembali pengajiannya yang belum tamat itu.
 
Kebetulan Ke Arah Kejayaan
Johan sempat ditanya bagaimanakah dia boleh terdorong untuk melibatkan diri dalam industri lakonan. Kata Johan, semuanya berlaku secara kebetulan apabila kakaknya, Farah Alia yang juga seorang pelakon mengajaknya ke uji bakat sebagai pelakon tambahan.Kedua-dua adik-beradik ini bernasib baik apabila mereka terpilih untuk menjadi watak sampingan dalam drama berjudul “Penunggu Gunung Raya“.“Kebetulannya, ketika itu pengarahnya ialah Abang Faizul Ishak. Setelah Abang Faizul melihat bakat saya, lantas dia terus menawarkan saya untuk drama “Juvana”.Saya memang gembira, tetapi pada ketika itu ibu bapa saya tidak yakin akan kemampuan saya. Saya yakinkan mereka bersungguh-sungguh dan berjanji untuk menghabiskan pengajian walau apa pun yang terjadi. Mungkin kerana janji saya, ibu dan bapa membenarkan saya untuk berlakon dalam drama “Juvana”,” kata Johan sambil tersenyum.
 
Pilihan Watak Versatil
Dalam kebanyakan drama, Johan sering diberi watak seorang yang sentiasa memberontak.Berbeza dengan personalitinya yang sentiasa merendah diri dan mulutnya yang tidak lekang dengan ucapan maaf, Johan mengatakan dia ingin menjadi seorang pelakon yang versatil.Dia sukakan cabaran dan oleh itu dia mendambakan watak yang berlainan setiap kali ditawarkan sebarang peranan. Selain watak orang gila,Johan teringin untuk memegang watak orang cacat seperti orang buta, bisu ataupun pekak.Ditanya siapakah gandingan yang
menjadi pilihan Johan,dengan pantas Johan menjawab Maya Karin.Baginya, selain mempunyai wajah yang cantik, Maya Karin sering berjaya membawa watak yang ditugaskan buatnya. Jika pelakon lelaki, Johan dengan nada riang menjawab dia ingin berlakon bersama Shaheizy Sam yang menurut Johan, Sam merupakan pelakon ikon di Malaysia.
 

Untuk artikel penuh dan lebih info, dapatkan majalah Remaja isu 1 Mac 2012!