Orangnya cukup aktif berpidato dan pernah menyertai kelab debat mewakili Universiti Teknologi Mara Cawangan Kedah ke pertandingan debat dan pidato semalaysia.Oleh itu,tidak hairanlah idola remaja kali ini begitu petah berbicara dan sentiasa mengeluarkan idea-idea bernas ketika diajukan soalan.
Gadis yang dikenali sebagai Asfarina Fathin Redzuan ini cukup aktif orangnya.Pelbagai aktiviti di universiti disertainya, malah proses pembelajaran bermula apabila dia bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat.Bukan itu sahaja, Asfarina turut dikenali sebagai pengacara majlis-majlis formal di fakulti dan Kebangsaan.Buktinya, dia pernah mengacarakan Majlis Hari Belia Negeri Selangor 2009 dan untuk majlis prapelancaran.Pengalaman seperti ini secara tidak langsung mengajarnya untuk menjadi insan yang lebih baik dalam mengacarakan majlis-majlis formal serta mengenali dengan lebih dekat lagi ahli-ahli politik dan Menteri.
Kursus Di Universiti
“Di UiTM, saya mengambil subjek yang merangkumi semua bidang seperti politik,undang-undang dan ekonomi kerana mahu menjadi seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik.Saya amat berminat dengan situasi politik semasa dan luar negara serta mempelajari selok-belok undang-undang dalam dan luar negara. Sejak kecil, saya sudah mempamerkan minat berkaitan isu semasa dan politik,” ujarnya bersemangat.
Kutip Pengalaman
Sepanjang menyertai pelbagai program yang dianjurkan universiti,banyak pengalaman yang dikutip oleh Asfarina.Antaranya mengenali lebih ramai pemimpin negara secara dekat dan mengetahui serba sedikit cara membuat serta menjalankan program. Tambahnya lagi, bukan senang untuk melaksanakan sesuatu program kerana ia memerlukan perancangan yang teliti dan nasihat daripada orang yang berpengalaman.
Pembahagian Masa
Walaupun sibuk dengan pelbagai aktiviti yang disertainya, waktu belajar dan bermain sentiasa disamaratakan. Kebiasaannya pada masa lapang, dia akan mengulang kaji pelajaran dan perkara yang telah diajar di dalam kelas. Selain itu, dia juga sering meminta tunjuk ajar daripada senior dan rakan-rakan sekiranya dia tidak faham tentang subjek yang dipelajari terutamanya subjek yang melibatkan kiraan seperti ekonomi, akaun dan statistik.
Minat & Kecenderungan
“Nasihat saya kepada mereka yang ingin mengambil jurusan seperti saya terutamanya kepada adik-adik lepasan SPM, kamu perlu tahu apa minat dan kecenderungan kamu ke arah mana. Jika minat bidang politik dan pentadbiran, jurusan ini amat sesuai.Banyakkan membaca berkaitan isu-isu semasa.Sebenarnya jurusan ini tidaklah susah sekiranya kamu betul-betul berminat ingin mendalaminya. Semoga berjaya,”akhirinya Asfarina menutup bicaranya.