Asrama adalah satu tempat yang membosankan bagi sesetengah pelajar. Mereka bergelar anak emak, pasti akan merengek dan mengeluh panjang apabila ingin dihantar ke sana. Tidak semua suka tinggal di asrama kerana peluang untuk bersosial agak terhad, bahkan ia penuh dengan disiplin yang mewajibkan setiap pelajar mematuhi peraturan. Hanya yang benar-benar nekad dan ingin belajar menguruskan diri sendiri sahaja mampu untuk berada jauh di mata keluarga.

Alah bisa, tegal biasa, begitulah  ungkapan yang keluar dari bibir comel si gadis yang bernama Aida Nurdiyana Adi Yazid. Walaupun dia juga seperti remaja lain yang suka pada kebebasan, namun dia akur apabila keluarganya mahu dia tinggal di asrama.

 Bukan berniat untuk menjauhkan dirinya daripada keluarga, namun ayah dan ibu mahukan dia menjadi seorang yang lebih berdikari dan mampu membuat keputusan sendiri. Menurut Yana, ibu bapanya banyak membimbing sepanjang perjalanannya di sekolah menengah. “Biarpun tidak dapat meluangkan masa bersama keluarga seperti remaja di sekolah harian, saya langsung tidak berasa sedih. Saya bangga kerana ibu bapa saya telah berjaya membentuk keperibadian saya menjadi lebih matang sebelum saya berada di sekolah berasrama. Mereka telah melakukan pilihan yang bijak dengan menghantar saya ke asrama dan sekarang terbukti pilihan mereka sememangnya tepat,” kata Yana sambil tersenyum.

Minat Sains
Apabila ditanya tentang cita-cita, gadis lincah ini berimpian besar untuk  menjadi seorang arkitek. Subjek sains tulen diminatinya kerana ia membuka peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang yang dia mahukan. Yana juga berharap agar satu hari nanti, dia dapat menubuhkan sebuah fi rma arkiteknya sendiri seperti makciknya. “Yana ingin mengambil kursus Environmental Building and Designs yang berlandaskan pembangunan dan pembinaan bandar ala-ala Eco-friendly pada masa akan datang. Yana mahu membina rumah-rumah di Malaysia tidak kira di kota atau di desa yang mesra alam dan selesa untuk kegunaan semua,” tutur Yana tentang hasratnya itu. 

Tokoh Yang Dikagumi
Jika remaja di luar mempunyai idola dan tokoh  yang dibanggakan, Yana turut mempunyai tokoh yang disanjunginya. Dia cukup mengagumi ketokohan Rasulullah S.A.W kerana ketabahan dan kecekalan Baginda menyebarkan agama Islam ke seluruh dunia sehingga Islam tampil hebat di mata dunia. Kesederhanaan Baginda merupakan sumber inspirasi kepada Yana untuk sentiasa menghormati orang sekeliling dan menghargai segala nikmat yang Allah berikan.  

 

 Untuk Artikel Penuh & Lebih Info Dapatkan REMAJA 15 DIS Di Pasaran Sekarang !!