Zaman kampus memerlukan kamu bergerak ke sana sini tanpa pemerhatian daripada keluarga. Walaupun kehadiran teman di sisi, ada kadangkala kamu bersendirian.Kamu harus berjaga-jaga kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku tanpa disedari. Ayuh ikuti tip untuk keselamatan diri ini.

Berjalan
Berwaspadalah ketika berjalan sama ada berseorangan atau berkumpulan.Berjalanlah dikawasan yang mempunyai cahaya terang dan elakkan berjalan di kaki lima yang gelap. Langkah dalam keadaan yang tenang dan yakin.Jangan menggunakan telefon bimbit, berbual atau bermain-main ketika berjalan kerana ia akan menghilangkan tumpuan kamu pada apa yang berlaku di sekeliling. Kamu juga harus berjalan bertentangan dari arah trafi k bagi mengelakkan kamu diserang dari belakang.
 

Kenderaan Awam
Pengangkutan awam sememangnya sinonim bagi pelajar-pelajar kerana untuk berulang alik ke kampus.Bagi yang selalu menaiki kenderaan awam, sentiasa mengingati nama pemandu dan nombor teksi yang kamu naiki. Untuk mengelak bahaya yang berlaku, berikan nombor telefon dan nombor pendaftaran teksi tersebut kepada salah seorang kawan kamu. Jika kamu menaiki bas pula, seboleh-bolehnya duduklah berhampiran dengan pintu untuk memudahkan kamu turun. 

Kereta
Sekiranya membawa kereta sendiri untuk ke mana-mana, pastikan kamu meletakkan kenderaan di tempat yang terang, mudah dilihat orang ramai serta hampir dengan pintu masuk dan keluar ataupun lif.Sekiranya ternampak seseorang yang mencurigakan berhampiran kenderaan kamu, segera minta pengawal bertugas atau kawan menemani kamu ke kereta. Kamu juga perlu memeriksa kereta sebelum memasukinya bagi memastikan tidak ada sesiapa berada di kawasan berhampiran. Sebaik berada di dalam kereta, cepat kunci pintu dan terus memandu keluar.

Rumah Sewa
Bagi yang tinggal di kolej, kamu bernasib baik kerana keselamatan akan dijaga oleh pihak kolej. Bagi sesetengah pelajar yang tinggal di luar, soal keselamatan mereka agak kurang diberi perhatian. Buatlah laporan kepada pengawal yang bertugas tentang orang yang sering mengekori kamu. Jangan sekali-kali membenarkan orang yang tidak dikenali memasuki rumah. Minta bukti pengenalan diri untuk orang asing yang tiba-tiba datang dan mengakui dia pengawal keselamatan,pekerja di situ atau sebagainya.

Jiran Tetangga
Pastikan kamu berbaik dengan jiran tetangga. Walaupun masingmasing sibuk dengan aktiviti sendiri, kamu seharusnya mengenali mereka dengan bertegur sapa dan tersenyum. Ini penting kerana sekiranya kamu pulang ke kampung, mereka boleh menjenguk rumah kamu dan mengenali sesiapa yang memasuki rumah tersebut.