Minat menonton drama siri aksi dan perubatan menjadikan inspirasi buat gadis ini untuk menjadi seorang doktor.Peluangnya semakin cerah apabila dia mendapat keputusan akademi yang cemerlang.Sayapnya mula melebar jauh ke negara orang setelah ditawarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam untuk menyambung pelajaran dalam bidang perubatan di Palacky Universiti,Olomouc,Czech Republic. 

Walaupun terkejut dengan tawaran tersebut, Wan Farhana Azwanee Wan Omar tetap gembira apatah lagi ketika itu dia sedang belajar di Universiti Teknologi Petronas dalam bidang yang tidak berapa diminatinya.Menganggap itu rezeki yang datang bergolek, anak
kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini menerima dengan hati yang lapang walaupun terpaksa berpisah jauh dengan ahli keluarganya.

Lebih Berdikari
“Saya sangat teruja kerana ini pertama kali saya berjauhan daripada keluarga.Biarpun kerinduan terhadap keluarga dan rumah tidak dapat dielakkan, ia mengajar saya untuk lebih berdikari. Bagi saya, untuk menjadi lebih matang, semua perkara perlu diatasi sendiri kerana kita akan lebih belajar.Daripada segi mental pula, pada awalnya memang agak mencabar kerana semua benda sangat baru.Saya akui, tahun pertama di sini merupakan antara tahun yang paling sukar dan tertekan. Namun, syukur kepada Allah kerana lama-kelamaan saya dapat membiasakan diri dengan budaya belajar dan persekitarannya,” ujar Farhana mengimbau kembali pengalaman pertama di negara orang.

Pengalaman Itu Indah
“Saya dan kawan-kawan merupakan pengambilan pertama yang dihantar ke Palacky Universiti ini.Agak susah untuk kami mengetahui keadaan sebenar serta cara hidup di sini kerana tiada senior yang dapat memberikan tunjuk ajar.Kesukaran yang dihadapi adalah komunikasi kerana kebanyakan orang Czech tidak fasih berbahasa Inggeris.“Makanan halal juga sukar kerana komuniti Islam di sini sangat kecil dan makanan ruji mereka ialah daging khinzir dan kentang. Dahulu, Czech di bawah pemerintahan Komunis dan mereka jarang berjumpa dengan orang yang berasal dari negara luar Czech.Oleh itu, mereka akan menganggap orang luar begitu asing dalam masyarakat, ditambah pula kami memakai tudung dan beragama Islam.“Selepas mula mengenal adat budaya orang Czech serta mampu berkomunikasi dalam bahasa Czech, semuanya dapat diatasi dengan baik. Kini, sudah ada enam kumpulan pelajar Malaysia di sini dan kadang-kadang saya berasa seperti berada di Malaysia kerana komuniti Malaysia semakin berkembang di bumi Czech ini,” tambahnya lagi.

Bandar Menarik
Setiap negara pasti ada kelainan yang tersendiri, begitu juga dengan negara ini.Adat dan budaya Czech berbeza dari Malaysia. Budaya di sini sama seperti budaya negara barat yang lain iaitu mengamalkan budaya bebas. Dan yang paling dikagumi, mereka sangat menepati masa. Bas dan tram akan datang tepat pada waktunya dan sekiranya lambat hanyalah seminit dua.Tambah Farhana lagi, banyak bandar yang menarik di sekitar Czech antaranya London, Paris, Venice, Frankfurt, Berlin, Geneva, Istanbul, Milan dan Prague yang menjadi daya tarikan untuk melancong.Bandar-bandar ini merupakan kawasan utama bagi pelancong untuk bersiar-siar kerana kawasannya sangat cantik dan unik.

Tip Untuk Berjaya
“Sebagai pelajar yang telah berjaya menimba ilmu sehingga ke luar negara, saya ingin mengajak remaja di luar sana untuk sama-sama berkongsi pengalaman indah.Untuk menjadi seperti saya tidak sukar sebenarnya. Paling penting, kena rajin dan selalu fokus ketika belajar serta ada minat yang mendalam. Selain itu, berusahalah sedaya yang mampu untuk mengejar citacita.Kemudian, berserahlah kepada Allah kerana Dia lebih tahu apa yang terbaik buat kita,” ujarnya diakhiri perbualan.