Kopi? Hmmm... Perkara pertama yang akan terbayang, pasti aromanya yang begitu istimewa sehingga mampu membuatkan setiap pencinta kopi tergila-gilakannya. Kononnya, secangkir kopi panas dikatakan mampu membangkitkan semangat.Walaubagaimanapun, jangan sangka kelebihan kopi hanya pada haruman serta rasanya sahaja kerana ia juga memiliki banyak khasiat untuk kecantikan kulit. Bukan hanya lidah kamu sahaja yang ketagihan dengan cita rasa kopi, kulit juga ingin menikmati khasiat di sebaliknya.

 
Ramuan Dunia
Kopi memiliki kandungan pH yang hampir sama dengan kulit kita sehingga dapat berfungsi sebagai balancing astringent. Oleh itu, ia sesuai digunakan untuk perawatan kulit.
Bahkan beberapa bangsa di dunia sudah memanfaatkan khasiat kopi dalam ritual perawatan kecantikan mereka sejak dahulu lagi.
 
1)Di India  
Rawatan lulur menggunakan serbuk kopi disebut udwartanam. Ia digunakan secara kering tanpa mencampurkannya dengan minyak atau air. Perawatan yang memakan masa lebih kurang satu jam setengah ini dipercayai dapat melangsingkan badan serta menghaluskan kulit jika dilakukan secara teratur.Bagaimanakah langkah perawatannya? Pertama, kulit diberus dengan menggunakan berus badan, kemudian kopi disapukan dan digosok ke seluruh tubuh. Setelah itu, proses tersebut diulang semula dengan menggunakan serbuk herba khas India. Setelah proses lulur selesai, diikuti pula dengan rawatan sauna agar khasiat kopi dan serbuk herba tersebut dapat menyerap ke dalam lapisan kulit. Kopi yang digunakan adalah biji kopi murni yang ditumbuk sendiri.
 
2)Di Rusia
Lulur menggunakan kopi sebelum mandi sememangnya sudah menjadi salah satu rahsia kecantikan tradisional yang sering dilakukan. Caranya hampir sama dengan perawatan lulur kopi dari India. Serbuk kopi kasar digosokkan ke kulit tubuh terlebih dahulu dan kemudian barulah mandi.
 
3)Di Indonesia
Terdapat lulur kopi khas Bali yang sememangnya sangat terkenal. Manakala di Jawa pula, kopi telah sekian lama dijadikan bahan untuk perawatan lulur tradisional khususnya untuk kaum lelaki. Kopi dipercayai dapat menyingkirkan sel kulit mati sehingga kulit tetap segar dan halus.Kini, warisan tradisional itu kembali semula dan semakin banyak diterapkan di spa-spa sebagai salah satu cara untuk menghilangkan rasa stres, sekali gus untuk kecantikan kulit.