Bekas Dewi REMAJA tahun 2005/2006 ini nampaknya semakin lama semakin laku bak goreng pisang panas. Tidak perlu diperkenalkan lagi, nama Scha Al-Yahya sudah cukup gah di persada seni tanah air. Bermula hanya sebagai seorang gadis biasa yang serba sederhana, Scha meletakkan usaha untuk terus mencipta nama dalam bidang peragaan, lakonan dan seterusnya pengacaraan. Ditanya tentang perkembangan terbarunya, Scha kini sedang sibuk dengan penggambaran sebuah filem serta program-program lain. “Sekarang Scha sibuk dengan penggambaran filem “Dampak” yang akan melihatkan gandingan Scha bersama aktor pilihan ramai iaitu Aaron Aziz. Scha juga terikat dengan Pizza Hut dan yang ini agak menarik. Scha akan membuat kejutan dengan menghantar piza secara istimewa kepada individu yang terpilih. Kontrak ini akan berjalan selama dua bulan. Selain itu, Scha baru saja selesai melancarkan minyak wangi terbaru daripada Avon,” ujar Scha yang kelihatan semakin berseri. Bukan sahaja kencang dengan pelbagai tawaran lakonan, pakej lengkap yang dimilikinya itu membuatkan Scha terpilih menjadi wajah baru untuk produk Bio-Essence. Tidak ketinggalan kekasih hatinya, Awal juga menerima habuan yang sama apabila terpilih sebagai wajah baru bagi produk Nugeno For Men. Istimewanya, pelancaran produk ini akan memberi peluang kepada sepuluhpasangan untuk merebut gelaran pasangan paling glamor, malah berkesempatan untuk berbulan madu bersama Scha dan Awal ke Bali, Indonesia. Ternyata, kedua-dua produk ini memberi keserasian di antara mereka berdua.

Scha & ‘Schapoholic’

Melibatkan diri dalam bidang perniagaan tidak kira online, butik mahupun kios yang kecil menjadi trend zaman sekarang. Menariknya, golongan muda yang menceburkan diri dalam bidang ini semakin ramai dan ini menunjukkan sesuatu yang positif daripada segi ekonomi. Scha juga tidak ketinggalan mengambil peluang yang ada di depan mata dengan menghasilkan ‘Schapoholic’, sementelah dia juga seorang pencinta fesyen.“Perniagaan yang saya jalankan ini agak bagus dan selalu juga saya ambil barangbarang di Bangkok. Tapi saya hanya buka kios di The Curve, Damansara. Sebenarnya bagus kita menjalankan perniagaan seperti ini kerana dalam masa yang sama kita dapat menjana pendapatan sampingan. “Sekarang ni pun sudah semakin banyak kemudahan untuk kita mempromosikan perniagaan. Ada Internet, laman sosial dan juga blog. Bagi Scha, ia sangat membantu dan Scha dapat mempelajari selok-belok dalam bidang perniagaan,” cerita Scha penuh bersemangat.

Lamaran Awal

Pasti ramai yang tidak sabar-sabar ingin mengetahui diari cinta merpati dua sejoli ini sebelum mereka mengambil keputusan untuk mengikat hubungan ini ke jenjang pelamin. Bahkan saat diajukan persoalan tentang lamaran Awal terhadap Scha sebelum dia bersetuju untuk menjadi pasangan kekasih, Scha tersenyum simpul tatkala membuka ceritera cinta mereka satu-persatu. “Scha mengenali Awal saat dia menjadi hos ketika pertandingan akhir Dewi REMAJA dulu. Awal ada SMS Scha selepas habis program tapi Scha tak layan. Beberapa tahun lepas tu, kami bertemu lagi di Festival Filem sebab kebetulan dua-dua datang untuk mempromosikan filem masing-masing. Kemudian dia SMS Scha lagi dan sejak itulah Scha terus berhubung dengannya. “Scha tengok Awal tak putus asa nak berbaik dengan Scha sehinggalah suatu hari dia ajak Scha keluar makan. Dan ketika itulah dia menyuarakan hasratnya untuk lebih serius dengan Scha. Bagi Scha, Awal istimewa di mata Scha kerana dia seorang yang penyabar dan easy going. Kalau ada benda yang Scha nak buat, dia takkan control. Semua keluarga kami merestui hubungan kami berdua. “Awal ni sebenarnya romantik, bahkan Scha pun tak sangka dia akan buat kejutan sepanjang tempoh kami bercinta. Pernah sekali tu, Scha ada penggambaran “Awan Dania The Movie” di Pangkor, tiba-tiba Awal datang ke sana dengan emak Scha. Bukan setakat tu saja, Awal siap bawa ayam sebab Awal tahu Scha memang suka makan ayam,” cerita juara Dewi REMAJA 2007 ini yang menyukai perkahwinan serba putih.

Untuk mengetahui lebih lanjut cerita Kehebatan Diari Cinta Awal & Scha , dapatkan Majalah Remaja Isu 1 Mei 2012 di pasaran sekarang.