AMAT MENARIK MENGINGATKAN KEMBALI SESI PERBUALAN BERSAMA HERO PILIHAN KALI INI. MESKIPUN MENGAKUI DIRINYA SEORANG YANG TIDAK BEGITU RAMAH TETAPI PERSONALITI SEMIPASIF ITU SAMA SEKALI BERUBAH APABILA ZON SELAMAT DIRINYA PERLAHAN-LAHAN DIRUNGKAI.

Nama Penuh: Tuah Zoqarnain Bin Idris
Nama Samaran: Tyzo
Asal: Perak
Tinggi: 165 sentimeter
Berat: 60 kilogram
Adik-Beradik: Tujuh orang
Pendidikan: Diploma Sains Komputer
Profesion: Penyampai Radio

Raut wajah, garauan suara serta rupa parasnya sering kedengaran tidak kira sama ada di peti kaca televisyen mahupun di corong radio. Tyzo atau nama sebenarnya Tuah Zoqarnain bin Idris seorang yang pastinya tidak lekang dengan topik perbualan saat keserasian di antara berdua mula terkupas.

Latar Belakang

Terasa sifat rendah diri yang terkandung dalam diri anak seni berbakat besar ini apabila diajukan persoalan tentang latar belakang diri. Keluarganya berasal dan menetap di Pasir Puteh, Ipoh, Perak Anak keenam daripada tujuh orang beradik ini seorang sahaja yang masih belum mendirikan rumah tangga. Dilahirkan pada tanggal 17 Februari, ibunya merupakan pesara guru manakala arwah bapanya pula bekas guru besar sekolah. Menjalani kehidupan yang biasa seperti kanak-kanak yang lain sewaktu zaman kecil, Tyzo berubah menjadi seorang yang aktif semasa mula bersekolah hinggalah ke institusi pengajian tinggi. Dilantik menjadi seorang pengawas sekolah ketika di sekolah rendah, beliau  kemudiannya memegang pucuk kepimpinan sebagai ahli majlis perwakilan pelajar (MPP) semasa menuntut di Kolej Premier Yayasan Perak.

Personaliti Diri

Berulang kali Tyzo menyifatkan sifat diri yang kadang kala tidak pandai beramah mesra. Namun itu semua tidak membataskan pergaulannya kerana rasa kekok tersebut boleh terhapus sekiranya dia menjumpai keserasian yang dapat dilihat  bersama. “Bagi kenalan yang mengenali diri saya, tentu akan menyangkal pernyataan tersebut kerana saya sememangnya seorang yang banyak cakap!,” ujarnya. Dahulunya Tyzo pernah menyatakan dirinya seorang yang hanya ‘bercakap bila perlu’ tetapi karier yang sama sekali bertentangan dengan sifat tersebut memaksa dirinya berubah. Meskipun melabelkan diri sebagai seorang yang sensitif, kadangkala dirinya boleh menjadi sinikal atau panas baran tetapi semuanya bergantung pada keadaan.

Pengalaman Bekerja

Mewarnai slot pendengar dari jam lapan hingga sebelas malam, Tyzo menyatakan bahawa beliau sentiasa memberikan sepenuh tenaga ketika beraksi di konti.Lantas lontaran vokal, pembawaan tenaga energetik dan perasaan ceria diperlukan bagi menampung hype yang dijanjikan buat pendengar. Rutin harian bermula awal pagi di mana beliau akan dipenuhi dengan jadual kerja yang agak padat dengan sesi promosi, fotografi , lakonan dan pada sebelah malamnya Tyzo akan menghiburkan pendengar setia dalam segmen “Muzik Tanpa Henti”. “Selepas habis kerja, biasanya saya akan terus fl at. Ini kerana saya sentiasa menyalurkan 100 peratus usaha tatkala ke udara. Saya seronok dengan kerjaya sebagai penyampai radio kerana kepuasan yang lahir daripada jiwa apabila mampu membuat orang menangis atau ketawa riang tidak mampu untuk digambarkan dengan kata-kata,” terang Tyzo lagi.

Lebih banyak info tentang Tyzo di majalah Remaja isu 15 Januari 2012!