Lelaki tidak dilahirkan sebagai seorang yang versatil. Semua jejaka mempelajari pelbagai aspek dan teknik berfesyen dengan cara melihat serta mentafsir. Tak tentu si lampai boleh memakai seluar labuh dan tidak semestinya si rendah boleh memakai baju yang besar.Isu ini mengungkap tentang beberapa tip asas buat sang petite tatkala berfesyen.
BAJU
Walaupun bertubuh kecil dan sesetengahnya pula kurus, tidak semestinya lelaki perlu terlalu menonjol. Belilah baju dengan potongan slim cut atau dress shirt. Elakkan daripada memakai pakaian yang terlalu langsing atau dengan istilah kerangka. Serlahkan jenis badan kamu tanpa memberi sebarang tekanan yang tidak diperlukan.
SELUAR
Meskipun kini seluar skinny telah mendominasi dunia fesyen dalam sekelip mata, itu tidak bermakna kamu harus menyarungnya juga.Celana bersifat kurus ini tidak sesuai buat mereka yang berkaki pendek. Seelok-eloknya,pakailah seluar yang berpotongan lurus dan tidak terlalu besar seperti denim jenis klasik
BLAZeR
Carilah blazer atau jaket dengan potongan pad bahu yang minimum yakni kecil. Pad sepatutnya bertanggungjawab memegang bahu secara tidak langsung. Namun padding yang terlalu besar akan membuatkan kamu kelihatan kelakar. Pastikan blazer atau jaket itu sebetul betulnya padan dari bahu sehinggalah ke paras pinggang.
KASUT
Jauhi sepatu yang mempunyai potongan high-cut. Sungguhpun kasut ini amat popular di kalangan remaja tetapi buat mereka yang kecil, ia akan kelihatan lebih pendek daripada asal. Ini kerana bahagian atas kasut tanpa disedari akan ‘memotong’ beberapa inci kaki kamu.
CORAK
Kenakan baju atau seluar yang mempunyai cetakan berbelang menegak. Selain memberi gambaran bahawa tubuh kamu tampak panjang, bagi mereka yang sedikit berisi bolehlah ‘menghapuskan’ ilusi berbadan besar buat seketika.
RONA
Warna tidak begitu memainkan peranan dalam sesi tatarias buat si ‘kecil’.Ini kerana mereka boleh memakai apa jua jenis warna tetapi ia tetap tidak lari dari beberapa jenis larangan.Perkara asas seperti warna-warna gelap tidak sesuai buat mereka yang kurus serta warna cerah buat yang berisi tetap boleh diguna pakai.
AKSESORI
Digalakkan memakai topi, tuque dan aksesori lain di kepala. Penutup yang berfungsi melindungi kepala ini menawarkan beberapa inci ketinggian lebih melalui pemakaiannya. Harus diingat bahawa topi yang terlalu besar akan terus ‘memakan’ diri kerana si pemakai kelihatan seakan-akan tidak mempunyai leher.
LAPISAN PAKAIAN
Dalam cuaca sejuk, jika kamu seorang yang gemar berfesyen bolehlah melakukan sesi suai padan beberapa kepingan pakaian. Asalkan ia tidak terlalu padat, jika berjaya melaksanakannya pasti kamu akan tampak sedikit besar daripada saiz asal.