Berbicara mengenai jejaka yang menyukai barangan yang boleh dikategorikan sebagai barangan berjenama, sesetengah daripada mereka tidak berfi kir panjang tentang wang yang bakal dilaburkan janji tampak puas di mata. Walhal sebenarnya seseorang itu tidak perlu berbelanja lebih untuk kelihatan kacak bergaya. Mari pelajari tip penggayaan pakaian, barang dan aksesori yang murah!

Suai Padan

Pastinya di dalam almari setiap daripada kamu terdapat barangan yang mahal harganya dan tidak kurang juga pakaian yang berasal dari Uptown ataupun cuma dibeli di pasar malam. Tidak kiralah betapa murahnya sehelai kemeja-T dan celana denim itu, jika kamu pandai menggayakannya, pasti ia akan kelihatan mahal. Semuanya bergantung pada kreativiti sendiri.

Helaian pakaian tersebut akan kelihatan menyerlah sekiranya kamu memadankannya dengan kardigan, jaket, baju panas mahupun hooded yang berkualiti. Barangan berjenama tersebut cukup kuat untuk meminjamkan pesona ‘mahalnya’ kepada barangan tadi. Kini pasti kamu menyedari bahawa menyuai padankan pakaian merupakan salah satu cara yang termudah untuk kelihatan bergaya selari dengan penampilan diri.

Warna Mahal

Tahukah kamu bahawa warna memainkan peranan utama apabila membuat penilaian terhadap satu gaya pakaian? Perasaan tidak selamat sentiasa menghantui diri yakni kebanyakan lelaki masa kini risau akan penampilan yang terlalu menonjol dan drastik. Usah gentar kerana warna-warna eksklusif seperti merah, hitam dan putih yang biasa menjadi permainan sehari-hari boleh diterapkan dalam setiap penampilan.

Terdapat cara bagaimana kamu boleh menonjolkan keistimewaan rona tersebut seperti memakai segelintir warna, tidak perlu banyak mahupun terlalu menonjol kerana akan kelihatan murah. Cukuplah sekadar sedikit sentuhan warna terang pada bahagian yang penting seperti baju, seluar, topi ataupun kasut. Biarkan satu warna yang menonjol itu stand alone di antara lainnya.

Corak Menarik

Jika kamu bijak memilih baju dengan cetakan yang dilihat agak unik, eksklusif dan sesuai apabila disarungkan, tidak mustahil orang lain akan melihat baju dari Uptown dan pasar malam tersebut dibeli dengan harga yang sangat mahal. Apa yang dimaksudkan dengan cetakan yang tidak nampak murah adalah jalinan corak yang selari usia dan sesuai dengan pembawaan diri. Sedikit nasihat tambahan, elak membeli kemeja-T yang sering dilihat di jalanan dan cuba cari yang jarang ditemui agar keistimewaannya bakal terbela.

Untuk artikel penuh, dapatkan majalah Remaja isu 15 Januari 2012 sekarang!