Saat ingin bertemu janji dengan si dia, tidur kamu jadi tak lena gara-gara kamu berdepan dengan pelbagai masalah pada mata. Pasti kamu ingin mencuba pelbagai cara agar masalah pada mata kamu itu dapat diatasi sebelum tujuh hari menjelangnya temu janji. Jangan bimbang, jom ketahui cara-cara memiliki sepasang mata yang sempurna.

 

Mata Bengkak & Lingkaran Hitam Bawah Mata
Ini adalah antara masalah yang merisaukan ramai gadis. Bagi mengatasi masalah ini, kamu boleh menggunakan hirisan timun atau kentang yang diletakkan pada kelopak mata. Selain itu, penggunaan ais batu juga berkesan untuk merawat masalah mata bengkak dan lingkaran hitam bawah mata. Lakukan beberapa minit setiap hari. Walau bagaimanapun, itu cara alami. Andai kamu ingin cara yang lebih moden, cuba krim kosmetik yang berkualiti dalam bentuk rollon yang berfungsi menyingkirkan lingkaran hitam di bawah mata.

Garis Halus
Sekiranya kamu tidak mendapatkan tidur yang cukup, maka akan muncul garis halus di sekitar mata yang boleh membuatkan kamu tampak lebih tua daripada usia sebenar. Namun usah bimbang, kamu masih belum terlewat mengatasi masalah ini dengan menggunakan krim pelembap anti-penuaan yang sesuai dan berkualiti di pasaran

Kulit & Mata Cantik
Amalkan makan buah-buahan dan sayursayuran segar yang kaya dengan vitamin dan mineral dalam diet kamu. Selain itu, minumlah sekurang-kurangnya lapan gelas air setiap hari untuk membantu menyingkirkan racun berbahaya daripada tubuh. Ini akan membuatkan tubuh kamu menjadi lebih sihat dan penampilan kulit termasuk bahagian mata kamu tampak lebih cantik dan berseri-seri.

Alis Terbentuk Rapi
Pastikan alis sentiasa rapi dan terbentuk sesuai dengan bentuk wajah kamu. Alis yang dibiarkan berselerak secara tidak langsung akan membuatkan wajah suram dan bermasalah. Jadi penting untuk kamu memastikan bahagian mata yang satu ini sentiasa terbentuk rapi.

Tip Solekan
Berikut beberapa tip solekan yang boleh membantu menyerlahkan mata kamu iaitu:


1. Sapukan bedak asas (foundation) atau concealer di bawah mata dan di atas kelopak mata. Ini boleh menyembunyikan lingkaran gelap pada mata serta mengimbangkan wajah secara keseluruhan. Bedak asas yang kamu guna haruslah lebih terang daripada warna kulit.
2. Hindari menggunakan pembayang mata warna gelap.
3. Selalu menggunakan maskara pada bulu mata kamu untuk menjaga bulu mata agar tetap rapi dan menarik.
4. Gunakan juga lapisan penggaris mata warna terang untuk solekan mata secara rutin.

 

REMAJA ISU 1 JUN 2012