DILAHIRKAN DI NITEROI, BRAZIL, ANAK BONGSU DARIPADA TIGA ADIK-BERADIK INI TERKENAL DENGAN KERJANYA BERSAMA SYARIKAT-SYARIKAT TERNAMA DUNIA ANTARANYA DIOR, DOLCE & GABBANA, YVES SAINT LAURENT, VOGUEM CHANEL, LANCOME, VICTORIA’S SECRETS DAN BANYAK LAGI. NAMANYA YANG TERSOHOR DI SERATA DUNIA MEMBUKTIKAN KEMAMPUANNYA YANG TIADA BATASAN.
Raica Oliveira dilahirkan pada 22 Januari 1984 dan tinggal di Bandar New York. Sejak kecil, model kelahiran Brazil ini telah mengamalkan bodyboarding kerana pada umurnya seawal 10 tahun, dia telah menyimpan cita-cita untuk menjadi seorang model terkenal. Nasib menyebelahinya apabila dia telah ditemui oleh agen, Sergio Mattos iaitu agen yang sama menemui Gisele Bundchen. Pada tahun 1999, Raica telah mencuba nasibnya di pertandingan Elite Model Look di Brazil dan berjaya mengalahkan 30,000 perempuan lain dengan menggondol tempat pertama. Dia kemudiannya dihantar ke Nice, Perancis untuk pertandingan akhir dan kemudiannya mendapat tempat kedua dalam pertandingan tersebut. Tidak lama selepas itu, dia mengambil keputusan untuk berhijrah ke New York bersama ibunya untuk membina karier dalam bidang peragaan.
Bayaran Paling Tinggi
Segala yang diimpikannya menjadi kenyataan apabila dia telah digelar “The Sensation” ketika memperagakan pakaian musim luruh di Paris dan Milan. Dia antara model yang kerap diperkatakan selain Adriana Lima, Maggie Rizer, Oluchi dan Karen Elson. Kempen pertama yang menampilkan Raica adalah untuk Christian Dior yang akhirnya muncul dalam majalah Vogue dan Vanity Fair. Pada tahun 2001 pula, dia telah menjadi di antara model Brazil yang paling banyak dicari. Majalah Istoe Gente juga telah mengumumkan bahawa Raica adalah model Brazil yang mendapat bayaran yang paling tinggi iaitu 300,000 dolar untuk kerjanya termasuklah perjalanannya untuk lebih 76 pentas peragaan hanya untuk dua musim.
Model Seni Grafiti
Raica juga pernah terpilih untuk muncul dalam kerja jurugambar terkenal, Gabriel Mendes. Untuk kerjanya yang dinamakan “Urban Puns - Trocadilhos Urbanos”, Gabriel telah memilih tempat seperti Rio de Janeiro, Sao Paulo dan New York. Raica kemudiannya dipilih untuk menjadi model untuk salah satu dari 12 keping gambar yang diambil oleh Gabriel dan fotonya itu telah diambil di New York di jalanan yang mempunyai seni grafiti.
Tidak Akan Berbogel
Raica tidak terkecuali dalam menjadi model bagi pakaian dalam jenama Victoria’s Secret. Dia telah memperagakan kempen terbaharu Victoria’s Secret pada tahun 2009, menjadikan itu kali kedua Raica bekerjasama dengan jenama itu. Kali pertamanya adalah pada tahun 2005 apabila dia muncul dalam katalog pakaian renang Victoria’s Secret. Pada November 2010, Raica telah menjadi muka baharu untuk jenama pakaian Ultimo menggantikan Kelly Brook. Biarpun dia senang untuk memperagakan seluar dalam untuk kempen terbaharu jenama itu, dia menegaskan bahawa dia tidak akan sama sekali berbogel di hadapan kamera. Katanya, biarpun tiada siapa yang menghalang dia bertindak sedemikian, Raica merasakan tiada sebab untuk dia melakukan sesuatu seperti itu. Dia tegas mengatakan bahawa berbogel tidak akan membuatnya bangga dengan dirinya sendiri.
Untuk artikel lengkap, dapatkan majalah Remaja 15 Januari 2012 sekarang!



