Pemberian hadiah buat yang tersayang menjadi satu kemestian setiap kali tibanya musim cinta ini. Namun adakah kamu mempunyai kemampuan? Sebenarnya setiap pasangan tidak memerlukan hadiah yang mahal pada harga, sebaliknya mereka mementingkan nilai keikhlasan di sebalik pemberian tersebut. Bersama Tip Bajet menyemai benih cinta dengan suasana berjimat.

Imaginasi Kreatif

Setiap pasangan perlu kreatif untuk menghasilkan sesuatu yang boleh mengurangkan kos setiap kali tibanya musim meraikan cinta. Fikirkan idea kreatif untuk pasangan kamu,  berilah ia dengan sesuatu yang dihiasi indah seperti rantai cengkerang yang kamu kutip di tepi pantai bersama-sama, kemeja-T yang dicetak dengan nama kamu berdua ataupun
sebuah gelas yang cukup comel untuk dikenang. Pastikan kamu cukup kreatif dalam menghasilkan kraftangan tersebut.

Tukar Aktiviti Wajib

Sekali sekala kamu juga perlu menganggap bertukar-tukar hadiah semasa menyambut hari kekasih bukanlah satu kewajiban. Apa kata kamu tukar aktiviti pada hari tersebut dengan aktiviti romantik seperti menonton wayang bersama-sama, membeli belah ataupun bawa si dia berjumpa dengan keluarga kamu. Cubalah cara ini, sememangnya ia cukup menjimatkan kos perbelanjaan kamu.

CD Lagu

Buah hati kamu seorang yang gemarkan muzik? Apa kata kamu salin lagu kegemarannya di dalam CD dan berikan kepadanya. Muat turun lagu yang digemarinya dan jangan lupa untuk
membalutnya dengan balutan yang cukup indah. Mungkin lagu yang kamu masukkan itu merupakan lagu tema cinta bersama dan sememangnya ia cukup menjimatkan serta meninggalkan seribu kenangan buat kekasih hati yang dipuja.

Kad Romantis

Rancang hari kekasih kamu dengan penghasilan sebuah kad romantis yang direka khas oleh kamu untuk yang tersayang. Kamu boleh menyediakan kad romantis ini sebesar mungkin dan kamu pahatkan nama kamu berdua di dalamnya. Cukup romantis sekiranya kad yang dihasilkan ini diberi semasa makan malam bersama. Sememangnya si dia akan menangis gembira atas usaha yang kamu lakukan itu. Jimat bukan!

Lebih banyak lagi tips hanya di majalah Remaja keluaran Februari 2012!