GURU IBARAT LILIN YANG MEMBAKAR DIRI UNTUK MENERANGI ORANG LAIN. MEREKA SANGGUP DIHANTAR KE MANA SAHAJA DEMI MENDIDIK ANAK-ANAK BANGSANYA. SETIAP YANG DIPERJUANGKAN TIDAK PERNAH DIKELUH KESAH. MEREKA JUGA TIDAK PERNAH MENGHARAPKAN SEBARANG BALASAN, CUKUPLAH SEKADAR TERSENYUM BANGGA MELIHAT KEJAYAAN ANAK-ANAK DIDIKNYA MERAIH KEJAYAAN.
Begitulah tingginya semangat seorang guru. Tidak semua orang dilahirkan secekal itu kerana bukan mudah untuk melentur seseorang jika tidak kena dengan caranya. Cabaran inilah
yang membuatkan Nurul Shawani Hamdan atau mesra dengan nama Shawani teruja untuk menjadi seorang pendidik. Baginya, semangat kental yang ada pada seorang guru akan mengajarnya untuk menjadi lebih matang dalam kehidupan. Bertemu dengan pelbagai kerenah anak murid akan membuatkan guru itu sentiasa melalui proses pembelajaran.
Pemilihan Universiti
Sokongan ibu dan ayah yang juga seorang pendidik menjadi faktor kepada pemilihan pengajiannya di Universiti College Plymouth St Mark & St John (Marjon), Plymouth, England. Baginya, peluang untuk menyambung pelajaran ke luar negara memang satu impian yang dinanti-nantikan selama ini. Tidak semua orang berpeluang mendapat tawaran tersebut dan ia ibarat rezeki yang datang bergolek buat gadis kelahiran Aquarius ini. Shawani telah dihantar untuk menyambung pelajaran dalam bidang pendidikan TESL. Menurutnya, England
ialah tempat yang paling sesuai untuk dia mendalami ilmu bahasa Inggeris kerana bahasa Inggeris yang digunakan di Malaysia adalah British English yang sememangnya berasal dari England. Jadi tiada akan timbul sebarang permasalahan apabila Shawani mengajar di sekolah Malaysia kelak.
Pengalaman Pertama
“Pertama kali menjejakkan kaki ke benua Eropah, saya rasa sangat teruja namun sedikit keresahan kerana kehidupan di sana memang mencabar. Jauh daripada keluarga menyebabkan saya rasa terasing, namun kehadiran teman-teman di sisi mengurangkan perasaan tersebut. Daripada segi kehidupan di sana pula, saya agak terkejut kerana kebanyakan mereka sangat peramah dan suka tersenyum. Mereka juga sangat jujur, tepati masa dan komited. “Selain itu, keadaan cuaca di Eropah juga tidak menjadi masalah kerana perubahan cuaca tidak berlaku dengan begitu ketara. Waktu kali pertama tiba di Plymouth, suhu di kawasan ini seperti suhu di Cameron Highlands. Jadi badan saya dapat menerima keadaan ini dengan baik, malah saya tidak mengalami masalah kesihatan di peringkat awal,” ujarnya mengimbau kenangan.
Suka Melancong
Peluang belajar di negara orang digunakan sepenuhnya oleh Shawani. Selain menuntut ilmu, dia juga suka berjalan-jalan melihat tempat orang. Jauh perjalanan, luas pengetahuan, kata Shawani tentang minatnya yang suka melancong dan mengembara. “Di England, banyak tempat dan kawasan yang menarik. Bath, Lake District, London, Cordoba, Istanbul dan Prague ialah tempat pelancongan yang terkenal untuk dilawati. Antara bandar-bandar yang berdekatan dengan universiti yang telah saya jelajahi ialah Cornwall, Bath dan St Austell. Biasanya setiap kali ada kesempatan, saya dan teman-teman akan meluangkan masa melawat kawasan-kawasan yang menarik,” katanya lagi dalam e-mel yang dikirimkannya
kepada REMAJA.
Dapatkan artikel lengkap hanya di majalah Remaja isu Februari 2012!



