PENYANYI KECIL MOLEK YANG SANGAT MENGAGUMI CELINE DION INI TELAH MENYIMPAN ANGAN-ANGAN UNTUK MENJADI PENYANYI SEJAK DARI KECIL LAGI. BERKAT KESABARAN DAN USAHA MEMBUATKAN DIA BERJAYA DENGAN BAKATNYA SENDIRI. KINI DENGAN MEMILIKI DUA ALBUM DALAM MASA DUA TAHUN, WANA TELAH MEMBUKTIKAN KEMAMPUANNYA UNTUK TERUS BERJAYA.
Nama Penuh: Noriezuana Binti Syed Shafudin
Nama Komersial: Wana
Tarikh Lahir: 23 Mei 1986
Asal: Johor
Bilangan Adik-Beradik: Anak kedua daripada tiga orang adik-beradik
Kerjaya Wana bermula sejak tahun 2009. Minat untuk menyanyi timbul setelah Wana sering mengikuti ibu saudaranya yang menyanyi di kelab selain mengikuti kumpulan koir di sekolahnya. Angan-angan yang diimpikan sejak dari kecil menjadi kenyataan apabila Wana dinobatkan juara dalam program realiti “My Starz LG”. Berbekalkan vokal yang mantap, dia berjaya membuktinya dirinya layak bergelar juara untuk program realiti musim kedua itu. Mengikat kontrak dengan Warner Music yang juga salah satu hadiah untuk juara My Starz LG, Wana sekarang telah menerbitkan album keduanya berjudul “Wana”, sejurus selepas kejayaan album pertamanya yang diberi tajuk “Siapa”.
Perihal Album
Baru menerbitkan album, Wana sekarang sedang sibuk dalam usaha mempromosikan album “Wana”. Album ini mempunyai lima lagu baharu bersama tiga lagu dari album pertamanya dengan tujuan untuk memperkenalkan album pertama Wana bagi peminat yang masih belum tahu mengenainya. Wana menggunakan khidmat komposer dan penulis lirik yang berpengalaman antaranya Tam Spider, Edry Kru, Amylea AF dan beberapa orang lagi.
Terus bercerita tentang album keduanya, Wana memberitahu bahawa album keduanya ini lebih segar dan matang. Dengan mengalunkan lagu irama balada serta pop rock, Wana membawakan imej yang lebih ringkas dan selesa dengan menjadikan Selena Gomez dan Miley Cyrus sebagai idolanya. Berusaha selama setahun lebih untuk album ini, Wana mengakui yang dia banyak membuat kajian untuk menghasilkan album keduanya ini.
Berlakon Teater
Mungkin ramai yang tidak mengetahui, Wana sebenarnya pernah berlakon teater malahan aktif berlakon teater suatu masa dahulu. Teater yang pernah dilakonkannya berjudul “Bumi Berkata Permata” arahan Jabatan Kerajaan Johor. Teater tersebut merupakan teater yang dibuat khas untuk Sultan Johor dan dipersembahkan di hadapan baginda di Art Festival Johor. “Sebelum menyertai “My Starz LG”, saya pernah bekerja di sebuah pejabat guaman dan bekerja sambilan sebagai penyanyi, penari dan juga pelakon teater. Ketika itu saya di bawah Alpha Star Entertainment, sebuah syarikat di bawah naungan Yayasan Warisan Johor. Biarpun penat melakukan dua kerja dalam satu masa, saya rasa gembira kerana saya memang meminati dunia seni,” kata Wana sambil tersenyum.
Untuk artikel lengkap mengenai Wana, dapatkan majalah Remaja isu 15 Januari 2012 sekarang!



