Kenal sudah hampir lima tahun, berkawan rapat sudah masuk tahun ketiga dan berkasih sayang hampir setahun lamanya, namun sudahkah kamu mengenali ketelusan isi hati sang teruna? Betulkah si dia mahukan sesuatu yang kekal  berpanjangan? Ayuh ketahui tanda-tanda utama yang menunjukkan si dia serius terhadap sesuatu perhubungan.  

Perkenalkan keluarga Dan Sahabat

Lelaki yang memandang berat terhadap perhubungan akan cuba untuk memperkenalkan pasangan kepada ahli keluarga atau rakan taulan yang rapat dengan dirinya. Ini menunjukkan bahawa mereka menganggap pasangan seorang yang penting dan bermakna dalam hidup. Pada kebiasaannya, seorang lelaki akan cuba untuk menyembunyikan hubungan yang mereka rasakan tidak serius. Ini adalah bagi mengelakkan perspektif negatif yang mungkin timbul daripada kaum keluarga. Namun, sekiranya mereka mempunyai alasan kukuh untuk tidak mengenalkan
kepada ahli keluarga, sang kekasih pula perlu cuba untuk memahami situasi tersebut. Misalnya masa yang tidak kena atau keadaan yang tidak mengizinkan mereka berbuat sedemikian.

Mengambil berat

Sudah menjadi tanggungjawab seorang lelaki untuk menjaga kaum yang lemah. Sekiranya sang arjuna mengambil berat terhadap setiap perkara yang kamu lakukan, ia menunjukkan bahawa mereka benar-benar serius terhadap perhubungan itu. Ini kerana kebiasaannya, lelaki yang hanya berminat terhadap hubungan jangka pendek tidak akan mempedulikan apa yang dilakukan oleh pasangan mereka. Tiada perasaan tanggungjawab wujud terhadap diri kamu timbul dalam sanubari. Ada kemungkinan juga para jejaka belum bersedia untuk berkongsi hidup lantaran hubungan yang dijalinkan berkisar untuk menghilangkan kesunyian diri. Tiba tahap apabila tidak lagi sunyi, kamu mungkin akan ditinggalkan pula.

Lebih mengingati

Seorang lelaki yang serius terhadap sesebuah perhubungan akan sentiasa berusaha untuk memenangi hati pasangannya. Apabila teruna berusaha keras dan fokus pada setiap perkataan yang telah diluahkan, ia menunjukkan bahawa setiap rintihan adalah amat penting. Juga sebagai bukti yang tidak disampaikan melalui kata-kata, kejerihan lelaki menghargai kehadiran teman istimewa dalam kehidupan mereka. Selain itu, cara ini juga digunakan untuk mengenali diri kekasih dengan lebih mendalam. Bukan senang tau untuk seorang lelaki mengambil sedikit masa mengimbau dan mengenang kembali kenangan lama apatah lagi sesuatu yang dirasakan penting bagi kamu.

 

Ingin tahu lebih lanjut? Dapatkan majalah Remaja keluaran Februari 2012 di pasaran sekarang!